Asal-usul nama Kanada

Nama Canada datanya dari bahasa Iroquois St. Lawrence, iaitu perkataan kanata yang bererti "desa" atau "petempatan".[10] Pada tahun 1535, para penduduk asli di rantau yang kini menjadi Bandar Raya Quebec menyebut perkataan kanata ketika menunjukkan arah ke desa Stadacona kepada penjelajah Perancis, Jacques Cartier.[11] Cartier kemudiannya menggunakan perkataan Canada bukan sahaja untuk memaksudkan desa itu, bahkan juga seluruh kawasan taklukan Donnacona (penghulu Stadacona); menjelang tahun 1545, buku-buku dan peta-peta Eropah mula memanggil rantau itu dengan nama Canada.[11]

Pada abad ke-17 dan awal abad ke-18, Canada ialah nama bagi sebahagian wilayah Perancis Baru yang terletak di sepanjang Sungai Saint Lawrence dan pantai utara Tasik-Tasik Besar. Kawasan itu kemudiannya dipecahkan kepada dua jajahan British, iaitu Upper Canada dan Lower Canada. Kedua-duanya disatukan semula menjadi Wilayah Kanada (Province of Canada) pada tahun 1841.[12] Selepas menjadi Negara Gabungan pada tahun 1867, nama Canada diterima sebagai nama rasmi negara baru ini, dan Dominion (yang dipetik dari Mazmur 72:8)[13] diberikan sebagai gelaran negara. Maka dengan itu, nama penuh Dominion of Canada digunakan seharian sehingga 1970-an.[14]Apabila Kanada menegaskan autonomi politiknya dari United Kingdom, kerajaan persekutuan semakin kerap menggunakan Canada sahaja pada dokumen kerajaan dan perjanjian; perubahan ini dicerminkan dalam penukaran nama cuti hari kebangsaan daripada Hari Dominion kepada Hari Kanada pada tahun 1982.[15]